ALOR STAR - Mana kelibat Datuk Othman Aziz? Itulah persoalan yang timbul pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Aman malam kelmarin apabila kelibat Othman yang sebelum ini menarik balik keputusan meletakkan jawatan sebagai pengurus pasukan bola sepak Sang Kenari tidak kelihatan di bahagian bangku pemain simpanan Kedah.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam, Othman menjawab persoalan itu dengan menjelaskan bahawa dia kini tidak lagi memegang jawatan sebagai pengurus pasukan bola sepak Kedah meskipun berhasrat meneruskan tanggungjawab yang dijalankannya sejak dua musim lalu.
Ini kerana, katanya, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak mendaftarkan nama beliau dan penolong pengurus pasukan, Syed Khairul Anuar Syed Abidin dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada musim ini.
"Selepas membuat pengumuman ingin meneruskan tugas sebagai pengurus pasukan bola sepak Kedah pada pertengahan November lalu, saya ada menghubungi FAM tetapi dimaklumkan nama saya dan Syed Khairul tidak didaftarkan.
"Jadi memang saya tidak boleh menjalankan tugas kerana tidak didaftarkan," katanya.
Isu mengenai jawatan Othman sebagai pengurus pasukan bola sepak skuad Hijau Kuning menjadi hangat apabila pada 12 November lalu beliau mengumumkan melepaskan jawatannya untuk musim 2009.
Beliau yang masih mempunyai kontrak sebagai pengurus sehingga akhir musim ini, memberitahu, keputusan itu diambil berdasarkan kepada kedudukannya pada ketika ini yang tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lalu.
Bagaimanapun kurang tiga hari selepas membuat pengumuman itu, beliau menarik balik keputusannya setelah mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu.
Menurutnya, dia memutuskan sedemikian selepas KFA memintanya menimbangkan semula hasrat berkenaan memandangkan kontrak beliau sebagai pengurus KFA masih lagi wujud pada tahun depan.
Othman berkata, tugas pengurus pasukan bola sepak Kedah kini disandang oleh ketua jurulatih Sang Kenari, Mohd. Azraai Khor Abdullah.
Sementara itu, Mohd. Azraai ketika dihubungi mengesahkan dia kini turut menyandang jawatan pengurus pasukan selain menjadi ketua jurulatih
 |