Salam sejahtera buat semua.
Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKC) merupakan satu wadah baru bagi penyokong Kedah yang berada di serata pelusuk dunia berkumpul secara maya dan melontar buah fikiran untuk membantu kepada pembentukan skuad Kedah yang cemerlang dari segenap aspek. Dari segi capaian, kita ada anak Kedah yang melayari Laman Web ini dari tempat kerja/belajar mereka di luar negara seperti Mesir, Rwanda, Korea, Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Jepun, United Kingdom dan lain-lain negara.
Sejajar dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat, HKC mengambil inisiatif untuk memainkan peranan menyebarkan informasi terkini tentang skuad Kesayangan Rakyat Kedah dengan lebih pantas apatah lagi liputan media massa tentang pasukan Kedah tidak begitu meluas. HKC bermula dari inisiatif pelayar yang dahagakan informasi tentang pasukan negeri kesayangan mereka.
HKC mendapat sambutan hangat daripada pelayar web dan tidak hairanlah HKC jika diukur dari segi rating pengunjung berkedudukan dalam ranking lingkungan 500 000 daripada bertrilion laman web yang wujud menurut ranking yang dikeluarkan oleh Alexa.com. Ini membuktikan HKC mempunyai pengaruh yang besar dalam memberi informasi kepada semua menerusi Laman Web.
HKC juga sentiasa mengemaskinikan jadual perlawanan, keputusan perlawanan, berita semasa pasukan, laporan perlawanan pasukan Kedah dan maklumat maklumat yang berkaitan dengan pasukan Kedah. Ini menunjukkan peranan yang cukup besar dimainkan oleh HKC untuk membantu peminat Kedah mendapat maklumat tentang pasukan kesayangan mereka.
HKC juga cuba memainkan peranan penting dalam mendidik penyokong agar menjadi penyokong yang dedikasi dan terbaik buat pasukan Kedah. HKC sentiasa menyeru penyokong Kedah yang hadir di lokasi pertandingan agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Saya selaku Presiden Kelab Penyokong Hijaukuning amat berharap agar usaha murni HKC ini akan mendapat sokongan semua pihak dalam misi membantu skuad Kedah dari segi sokongan menjadi pasukan yang digeruni sepanjang zaman.
Terima Kasih atas segala sokongan anda.
Yang benar,
Mohd Shahar Mohd Saad (Presiden Kelab Penyokong Hijaukuning) |