|
Kelab Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah atau lebih dikenali sebagai HKC (Hijau Kuning Supporters Club) didaftarkan secara rasmi pada 16 Februari 2005. Kemunculan website HKC sebenarnya telah bertapak di alam maya sejak tahun 2001. Bermula dengan komuniti-zero-hijaukuning, bertukar kepada www.hijaukuning.cjb.net kemudiannya beralih kepada www.hijaukuning.net dan akhirnya kekal hingga sekarang di www.hijaukuning.com.
Idea asal untuk menubuhkan website HKC ini ialah untuk memberi informasi kepada sebahagian penyokong yang inginkan maklumat mengenai pasukan Bolasepak Kedah yang pada sekitar tahun 2001 terlalu kurang mendapat publisiti berikutan prestasi Kedah pada tahun tersebut agak kurang memberangsangkan dan juga boleh dikatakan yang terburuk dalam era professional.
HKC menyediakan ruang perbincangan dan komunikasi melalui online forum kepada pengunjung terutamanya penyokong pasukan Kedah. Perbincangan bukan hanya tertumpu kepada perkembangan pasukan Kedah sahaja malah meliputi perkembangan bolasepak dalam dan luar negara. Turut dimuatkan petikan berita mengenai pasukan Kedah yang terdapat di media-media tempatan serta informasi terus dari pihak kejurulatihan sebagai bahan informasi mengenai perkembangan pasukan. Disamping itu, Galeri Download yang mengandungi klip video, lagu rakyat serta lain-lain bahan muat turun juga disediakan untuk kemudahan para pengunjung.
Kini, setelah beroperasi sejak 2001, HKC telah mempunyai lebih 4,000 keahlian online. Sepanjang tempoh penubuhannya, HKC telah berjaya menjalankan beberapa aktiviti secara online mahu pun secara offline. Antara aktiviti-aktiviti yang berjaya dijalankan ialah pertandingan futsal, pertandingan boling, majlis berbuka puasa bersama jurulatih, kempen derma darah dan juga konvoi penyokong ke stadium lawan. Ternyata HKC bukan hanya menyatukan penyokong di alam maya malah berjaya menjalin dan mengembangkan hubungan peminat dan penyokong bolasepak Kedah di luar alam maya melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah.
HKC berharap dapat menjalankan pelbagai lagi perancangan-perancangannya untuk masa hadapan. Ada di antara rancangan-rancangan tersebut telah lama dibincangkan cuma belum mampu dilaksanakan atas halangan-halangan tertentu seperti kekurangan kewangan untuk membiayai projek tersebut.
Objektif Penubuhan
1. Menyediakan informasi, berita dan kegiatan yang berkaitan dengan perkembangan pasukan Bolasepak Kedah khususnya dan perkembangan bolasepak Malaysia dan dunia umumnya.
2. Mengumpulkan para penyokong bolasepak Kedah sebagai satu komuniti.
3. Menjadi sebuah pusat sumber rujukan utama informasi mengenai pasukan Kedah di kalangan penyokong.
4. Menjadi medan interaksi dan mengeratkan hubungan diantara para penyokong Kedah di dalam dan luar negeri Kedah termasuk di luar negara.
5. Menjalinkan hubungan baik dengan pihak pengurusan, kejurulatihan serta pemain agar segala informasi mudah diperolehi untuk dikongsi bersama penyokong.
Misi
Menjadi sumber informasi utama Pasukan Bolasepak Kedah
Moto
“Keazaman Menjana Kejayaan”
Perancangan HKC
* Menyediakan Kemudahan pembelian tiket secara on-line kepada para penyokong terutama ahli HKC bagi memudahkan mereka yang berada di lokasi jauh dari stadium untuk sama-sama berpeluang menyaksikan perlawanan bolasepak di Stadium darulaman.
* Menyediakan klinik bolasepak kepada sekolah-sekolah terpilih dengan mengambil beberapa pemain skuad bolasepak Kedah sebagai mentor. |